Sahabat itu
kiriman Allah yang amat berharga dan bernilai. Ternyata kerinduan itu sering
menghambat jiwa saban hari apabila mengenangkan saat suka dan duka dalam
menempuh pelbagai cabaran semasa berorganisasi dan berprogram. Bukan hanyat
saat itu, malah kehidupan seluruhnya, dan banyak mencorak peribadi yang lebih
baik daripada sebelumya.
Terkenang saat bersama menghadiri majlis ilmu di surau, masjid dan
di mana jua, berusaha bersama untuk hadir. Rindu saat itu, sehingga terlupa
lelah dan letih seharian. Bersama bangun untuk solat malam, berqiamulail
berjemaah di masjid dan usaha bangun seawal mungkin supaya tidak terlepas. Di
bulan Ramadhan adalah saat yang paling dirindui dan diingati apabila kita
bersama berbuka bersama, satu talam, kadang-kadang di masjid, kadang-kadang di
rumah sahaja, bahkan kadang-kadang di majlis berbuka puasa yang diadakan.
Begitu juga solat tarawih berjemaah, bertukar-tukar imam kerana berkunjung
masjid yang berlainan di kebanyakan malam. Terasa hati sungguh bening kerana
dikurniakan sahabat yang membawa cinta kepada Allah s.w.t.
Ada
ketikanya pula, kita berkesempatan beriadah bersama biarpun hanya berjogging
sahaja, tetapi melihat alam ciptaan Allah amat mendamaikan. Apabila sudah
letih, kita makan bersama, kadang-kadang kita menempah menu yang sama kerana
kegemaran kita tidak jauh bezanya. Teringat juga apabila makan bertalam di
rumah, tidak kisah apa jua hidangan yang dimasak, kita nikmati bersama. Tidak
kira berbuka puasa pada bulan Ramadhan mahu pun berbuka puasa sunat.
Di saat yang lain, kita bersama solat jemaah yang mentautkan hati
setelah seharian sibuk dengan urusan masing-masing. Alhamdulillah, Allah
izinkan kita bersama solat berjemaah Subuh bersama dan membaca Al-Mathurat
berjemaah seusai solat Subuh. Jika berkesempatan, di waktu yang lain juga kita
solat jemaah bersama. Syukur Allah dengan rahmatNya meringankan diri kita semua
untuk melakukan solat jemaah bersama.
Terlalu banyak kenangan manis yang ingin dicoretkan sehingga
hampir tiada kenangan pahit bersama. Kini, kamus hidup kita sudah berbeza, kita
sudah terpisah dengan jarak yang jauh dan tanggungjawab yang berbeza. Namun,
kerinduan ini selalu menghambat jiwa sehingga sukar untuk ditepis kenangan itu.
Sesungguhnya doa yang sering kutitipkan agar Allah merahmati kalian dan
mepermudahkan urusan kalian serta mengharap sahabat persis kalian yang soleh
mengelilingi kehidupan ini. Ameen...Ameen...
Besar nikmatnya apabila Allah mengirimkan sahabat-sahabat yang
membahagiakan dan ternyata inilah hikmahnya apabila Islam menyuruh kita memilih
teman yang baik agar persahabatan itu membawa cinta kepada Allah s.w.t.



Comments
Post a Comment